PERCUTIAN BUDGET : Muzium Tentera Darat, Port Dickson, Negeri Sembilan, Malaysia.

Writer : Azura Mohamad, Editor : Syahman Abu Hasan.

Tarikh lawatan : 28 March 2019 / Khamis

Info gambar : Di laluan masuk utama, kami disambut dengan pelbagai jenis meriam dan kereta perisai.

Mencari Muzium Tentera Darat Port Dickson, Negeri Sembilan ini tidaklah terlalu susah sebenarnya kerana ianya terletak di jalan susur keluar / masuk Lebuhraya Seremban ke Teluk Kemang dan berdekatan pula dengan Pusat Latihan Asas Tentera Darat yang terletak di situ. Kiranya, lokasi sekitar sini adalah lokasi abam-abam perwira negara kita berlatih dan menginap.

Info gambar : Carian yang akan anda jumpai dengan menggunakan navigasi Google Maps.

Lokasi Google Maps : https://maps.app.goo.gl/BHufnGyzTgTJmAan7

Alamat : Army Museum Port Dickson
Kem Sirusa, Persiaran Pahlawan, Kampung Baru Sirusa, 71050 Port Dickson, Negeri Sembilan

Nombor Telefon : +606-646 2359 / +606-646 2482

Disebabkan kami bertolak agak lambat sedikit, maka kami sampai di sana sekitar jam 12.30 tengah hari. Panas? Sudah tentu. Cukup panas di sini kerana kawasannya yang agak lapang dan terbuka. Panas ‘lit-lit’ kata orang😊.

Info gambar : Waktu dan hari lawatan yang dibuka untuk orang awam. Juga terdapat nombor telefon dan fax untuk dihubungi jika ingin merancang membawa rombongan beramai-ramai.

Waktu lawatan dibuka pada orang awam adalah pada setiap hari bermula jam 10:00 pagi hingga 5:00 petang. Ia di buka setiap hari kecuali pada hari Isnin dan Selasa.

Info gambar : Terdapat kapal terbang yang dipamerkan bersebelahan kawasan parking.

Apabila tiba, anak-anak sudah terpegun dan tidak sabar-sabar untuk keluar kerana terlihat kapal terbang yang dipamerkan di sebelah kawasan parking. Namun, kami mengambil masa yang sedikit lama kerana kawasan parkingnya yang agak terhad yang menyebabkan kami terpaksa berpusing- pusing mencari ruang parking beberapa kali. Terfikir juga, bagaimanalah agaknya jika kami datang pada hari Sabtu dan Ahad? Kami yang datang pada hari Khamis ini pun dah melalui dugaan yang sebegini. Mungkin hari cuti sekolah kot 😅.

Info gambar : Salah satu kereta perisai tentera darat yang dipamerkan menyambut kehadiran kami selepas melalui laluan utama. Cukup mengujakan anak-anak.
Info gambar : Antara meriam lama yang dipamerkan mengundang kami untuk bergambar kenang-kenangan walau cuaca yang agak terik ditengah hari ini
Info gambar : Maklumat berkenaan meriam lapangan yang kami bergambar tadi. Ia mempunyai kaliber sepanjang 75mm dan mempunyai panjang laras 2.325 meter serta mempunyai kekuatan kelajuan tembakan selaju 510meter sesaat. Wow! Hebatkan?! Ini meriam lama. Jenis yang terkini mesti lagi canggihkan?
Info gambar : Segala kelengkapan ini yang tersusun kemas di kawasan sekitar pagar pintu masuk utama. Bolehlah berangan naik sekejap membayangkan anda membedil musuh negara ala-ala filem Leftenan Adnan atau Sarjan Hasan😉.

Dari parking kereta ke kawasan Muzium, anda perlu menaiki anak tangga dahulu dan anda akan disambut dengan pelbagai jenis meriam dan kereta perisai. Ada yang kecil dan ada juga yang besar. Anak-anak sudah semestinya mencuba dengan menaiki ke semua jenis meriam ini sebagai kenangan indah mereka.

Info gambar : Tugu peringatan berbentuk tiang yang diabadikan nama-nama pejuang yang terkorban.
Info gambar : Antara sebahagian senarai nama yang terkorban di dalam peperangan. Moga mereka ditempatkan dalam golongan yang syahid membela agama, bangsa dan negara yang tercinta ini. Amin..

Sebaik sahaja selesai menaiki anak tangga, di bahagian sebelah kanan kawasan muzium ini terdapat dataran lapang yang agak luas menempatkan banyak nama-nama pahlawan terkorban yang diabadikan pada tugu peringatan yang berbentuk seakan tiang-tiang yang unik yang mempunyai air pancut hiasan di tengahnya.

Info gambar : Terdapat helikopter dan kapal terbang pejuang yang ditempatkan di kawasan lapang ini. Ia juga membenarkan kita untuk merasai pengalaman di tempat pemandu. Berkemungkin sebuah kapal pejuang lama yang tidak digunakan lagi agak saya.

Bagi mengalas perut, terdapat juga gerai makanan yang disediakan tidak jauh dari lokasi kapal terbang pejuang ini. Akibat kami hadir jam 12:30 tengah hari tadi, anak-anak mula merengek minta perut diisi. Kami makan di sini sahaja dan amat berpuas hati dengan harganya tidak mahal dan sangat berbaloi untuk percutian budget kami kali ini.

Info gambar : Maaf, kami kelaparan dan kehausan sebelum selesai habis menjelajah kawasan muzium yang agak luas ini. Kami rehat sebentar di kedai makan ini sebelum meneruskan kembali😉.
Info gambar : Selesai ‘lunch’ kami senam sikit ‘warm up’ sebelum jelajah ke terowong komunis jap lagi. Yeay! (lihat pemandangan belakang yang juga terdapat gerabak keretapi lama yang boleh dinaiki juga)

Terdapat 2 bangunan di sekitar situ. Disebabkan anak-anak sudah berpeluh kepanasan, maka kami menuju ke bangunan tersebut yang mempunyai penghawa dingin. Sebelum masuk ke dalam, pastikan anda menulis nama dahulu di buku pendaftaran yang telah disediakan.

Info gambar : Walaupun masuk adalah percuma, daftar dahulu ya di dalam buku pendaftaran sebagai tanda sokongan.

Dua binaan bangunan ini dibahagikan kepada 8 bahagian. Terdapat pelbagai bahan artifak lama dan replika daripada zaman Portugis, Inggeris, Jepun, komunis sehinggalah zaman Kemerdekaan dan juga pencapaian-pencapaian anggota tentera yang tentulah membanggakan kita sebagai rakyat Malaysia.

Info gambar : Suasana dihadapan salah sebuah bangunan muzium yang terdapat di sini.
Info gambar : Plak perasmian projek Muzium Tentera Darat pada 14 Disember 2002.
Info gambar : Tanda arah yang disyorkan sepanjang perjalanan di dalam muzium ini.

Bagi anda yang inginkan penceritaan sejarah Malaysia mengikut turutan tarikh bagi memudahkan perjalanan, amat di alu-alukan untuk mengikut tanda arah yang diberi. Ini termasuklah tanda ‘tapak kaki’ di lantai sebagai rujukan (maaf tiada gambar untuk tanda tapak kaki ini).

Info gambar : Fungsi dan peranan Askar Melayu DiRaja ataupun juga dikenali RAMD.
Info gambar : Kawasan yang menceritakan sepanjang era kemerdekaan 1987 – 1989
Info gambar : Peti surat rahsia dari tengkorak gajah ini telah digunakan oleh pengganas Komunis sebagai Peti Surat Rahsia. Tengkorak ini telah dijumpai oleh anggota 4 RAMD semasa melaksanakan Operasi Setia VII di dalam hutan Air Kala, Perak pada tahun 1975. RD
Info gambar : Lorong bermulanya terowong bawah tanah Parti Komunis Malaya (PKM). Laluan yang sedikit tersorok ini mungkin ramai yang tidak tahu kewujudannya. Jangan lepaskan peluang yang amat berharga ini.

Bila selesai melawat kawasan bangunan ini, kami masuk pula ke bangunan satu lagi yang mempunyai terowong bawah tanah yang mana terowong ini adalah bekas tinggalan Parti Komunis Malaya (PKM) melakukan pelbagai aktiviti termasuklah perubatan dan mesyuarat sulit mereka.

Info gambar : Penerangan berkenaan Susunatur Terowong PKM.

Terowong PKM ini sejauh 142 meter dan akan memberikan kesan sejarah yang mendalam pada Askar Melayu DiRaja untuk menumpaskan mereka yang licik ini. Terowong ini lengkap mempunyai kamera litar tertutup yang dipantau secara terus 24 jam dan mempunyai kemudahan lengkap seperti pengudaraan udara, Bilik Pembedahan dan Kawasan Sasaran Menembak.

Info gambar : Perjalanan yang penuh pengalaman melalui terowong tinggalan PKM ini.
Info gambar : Contoh-contoh senjata yang digunakan oleh PKM turut dipamerkan di dalam terowong ini.

Agak panjang dan laluannya agak sedikit sempit. Pengalaman melalui terowong sempit ini amat berharga bagi kami. Sudahlah sempit, panas pula. Untung juga ada sesetengah sudut ada disediakan penghawa dingin mudah alih oleh pihak pengurusan. Kalau tidak, boleh basah peluh saya😋

Info gambar : Kolam ikan yang terdapat setelah keluar dari terowong bawah tanah PKM ini yang bersebelahan dengan jambatan gantung.
Info gambar : Jambatan gantung yang terdapat dihujung kawasan. Terletak berhampiran terowong bawah tanah tadi. Berhati-hati ya kerana ada sebahagian lantai jambatan yang sudah pecah yang perlu dibaiki. Anak-anak perlukan bantuan ibu bapa untuk keselamatan.

Keluar daripada terowong, kami disajikan dengan kawasan yang agak redup dan tenang. Paling seronok semestinya si kecil kami kerana terdapat kolam yang banyak ikan didalamnya. Dan yang paling ‘awesome’ anak-anak dapat menaiki jambatan gantung yang agak panjang dan sedikit menggerikan bagi yang takut pada ketinggian walaupun ia tidaklah setinggi mana 😨.

Ok, waktu melawat dah tamat. Terpancar kepuasan di wajah anak-anak dan juga ketidaksabaran mereka untuk check-in di hotel yang mempunyai kolam renang😊. Sebelum terlupa, masuk ke muzium ini adalah PERCUMA ya. Tabung sumbangan ada disediakan bagi yang ingin menyumbang.

Sedikit TIPS daripada kami pada yang membawa anak-anak ke sini :

1. Sediakan air minuman yang mencukupi kerana kita akan banyak berjalan di sini.

2. Sediakan juga payung terutama yang hadir pada waktu tengah hari kerana banyak kenderaan tentera yang terdapat di luar kawasan yang tidak berbumbung. Anak-anak pasti ingin mencuba pengalaman menaikinya.

KESIMPULAN

Tarikh kami ke sini: 28 March 2019

Yuran: Percuma

Lokasi percutian: Muzium Tentera Darat, Port Dickson, Negeri Sembilan, Malaysia.

Google Maps : https://maps.app.goo.gl/BHufnGyzTgTJmAan7

Kepuasan:

Memang puas kami berjalan. Pameran kenderaan tentera seperti kereta perisai, kapal terbang serta meriam amat menarik minat anak-anak.

Kemudahan tandas yang bersih. Kedai makan mempunyai harga yang berpatutan. Pengalaman terowong bawah tanah PKM suatu pengalaman yang sukar untuk dilupakan.

Santai selepas penat berjalan di kawasan redup yang mempunyai kolam ikan dan jambatan gantung sedikit melupakan penat berjalan sebentar tadi.

Kekurangan:

Ruang parking pengunjung yang amat terhad. Memaksa kami berpusing beberapa kali untuk menanti dan mengharap ada pelawat yang keluar.

Keadaan jambatan gantung yang sedikit uzur di bahagian lantai jambatan. Perlu lebih berhati-hati terutama yang mempunyai anak kecil. Juga perlu bersedia kerana ramai kanak-kanak berlari dan menggoyangkan jambatan ini.

Tahap kepuasan (maksimum 5 🌟) : 

🌟🌟🌟🌟 1/2 (4.5 bintang)

Perkongsian oleh: Pn. Azura Mohamad

Editor:Mohammad Syahman Abu Hasan

Leave a comment