PERCUTIAN BUDGET : Bukit Jugra, Banting, Selangor, Malaysia.

Writer : Azura Mohamad,

Editor : Syahman Abu Hasan

Tarikh lawatan : 24 Februari 2019

Info Gambar : Pemandangan Di Puncak Bukit Jugra dari pandangan ‘drone’ kami.

Lokasi Bukit Jugra ini terletak di daerah Kuala Langat, Selangor Darul Ehsan. Walaupun lokasinya tidak terlalu jauh (lebih kurang 1 jam perjalanan) dari lokasi kami tinggal, tetapi inilah kali pertama kami berjaya menjejakkan kaki ke sini.

Lokasi Google Maps :
https://maps.app.goo.gl/Zyrh6SfBVLyDnfoC9

Kami memulakan perjalanan sedikit lewat iaitu sekitar jam 9 pagi dari rumah dan sampai di sana sekitar 10 pagi. Risau juga kami memikirkan keadaan cuaca yang mungkin panas untuk berjalan kaki naik ke atas bukit nanti. Maklumlah ini merupakan pengalaman kali pertama kami ke sini. Tidak banyak pengalaman yang kami ada. Lagipun si bongsu kami ini umurnya baru mencecah 2 tahun 1 bulan. Kami sediakan kereta tolak untuk memudahkan pergerakannya 😉

Info gambar : Berjalan santai bersama keluarga sangat sesuai untuk beriadah ke sini. Kita kasi keluar peluh sikit🤠

Disebabkan waktu kami datang ke sini adalah hari minggu, maka berderetlah juga kereta yang parking di tepi jalan. Beruntung rasanya kerana kami tidak bersendirian.

Pada mereka yang mempunyai anak-anak kecil seperti kami, kami amat syorkan membawa sekali bekalan air minuman. Jika anda terlupa, silap-silap terpaksa pula mendukung mereka pulang akibat kehausan😅.

Info gambar : Si bongsu bersama kereta tolak yang dibantu oleh abang dan kakaknya. Cuba perhatikan, kami telah membawa bekalan 3 botol air 500ml di depan kereta tolak tersebut. Habis semua di dalam perjalanan😅

Perjalanan ke atas Bukit Jugra tidaklah terlalu jauh. Ia mengambil masa kira-kira 40 minit atau lebih, ia bergantung juga kepada ‘mood’ anak-anak. Terdapat juga warga emas yang bertongkat naik dan turun di Bukit Jugra ini. Setiap bangsa dan peringkat umur juga tidak terkecuali. Ini menunjukkan kawasan tersebut sesuai untuk semua peringkat umur dan setiap lapisan masyarakat.

Sebagai peringatan, perjalanan menaiki Bukit Jugra ini adalah perjalanan menggunakan jalan tar yang merupakan jalan yang sama pada mereka ingin memandu kereta ke atas. Anda yang membawa anak-anak perlu berhati-hati dan sentiasa bersedia jika terdapat kenderaan yang naik dan turun melalui jalan ini. Walaupun agak jarang, persediaan awal ibu bapa adalah lebih baik.

Info gambar : Kubur cina yang terdapat di lereng bukit di sebelah jalan naik ke atas bukit Jugra ini.

Info gambar : Bergambar sebentar untuk kenang-kenangan di hadapan bekas tinggalan sejarah iaitu Pejabat Daerah Lama.

Separuh dari pendakian, terdapat perkuburan cina di lereng-lereng bukit dari sini hinggalah sebelah bukit sana. Kemudian kita akan bertemu pula dengan bekas bangunan peninggalan sejarah iaitu Pejabat Daerah Lama. Anak-anak kami mengambil kesempatan bergambar di sini sebagai kenang-kenangan😊.

Lebih kurang 40 minit perjalanan, sampailah kami ke puncak Bukit Jugra. Terdapat tulisan besar JUGRA. Di belakang tulisan Jugra terletaknya Rumah Api Bukit Jugra. Tetapi maaf ya, pengunjung tidak dibenarkan masuk ke rumah api ini😊.

Info gambar : Suasana di puncak Bukit Jugra ini kami sematkan sebagai kenang-kenangan.

Bagi yang takutkan ketinggian, disarankan menggunakan tangga yang disediakan di sebelah kiri dan kanan tulisan JUGRA yang besar ini. Pada mulanya kami tidak perasan akan tangga ini, maka kami mendakilah melalui lereng bukit ke tulisan Jugra yang agak berbahaya. Berpeluh, kecut perut dan menyeramkan jugalah pada yang mempunyai simptom gayat😅.

Kami difahamkan, aktiviti paragliding dilakukan di kawasan puncak ini. Namun, sepanjang kami berada di sana, tidak terdapat pula. Mungkin aktiviti ini dilakukan atas tempahan.

Info gambar : Aktiviti paragliding yang dilakukan di puncak Bukit Jugra ini. (Sumber dari FB : Malaysia Paragliding Team)

Sudah puas kami berehat di puncak dan memberi ruang anak-anak bermain, kami pun turun. Mencabar juga kerana anak-anak sudah penat dan ada suara-suara merengek kepenatan sepanjang perjalanan.

Sebelum pulang ke rumah, kami singgah sebentar ke Muzium In Situ Jugra. Lokasinya yang sedikit ke hadapan dari lokasi parking Bukit Jugra (anda boleh jadikan papan tanda yang terdapat di situ sebagai rujukan).

Info gambar : Suasana di hadapan kawasan parking Muzium In Situ, Jugra.

Untuk kisah dan suasana kami di muzium ini, kami kongsikan di pautan di bawah ini :

Muzium In Situ, Jugra, Kuala Langat, Selangor (Maaf, pautan ini masih di dalam proses)


KESIMPULAN

Tarikh kami ke sini: 24 Februari 2019

Yuran : Percuma

Lokasi percutian: Bukit Jugra, Kuala Langat, Selangor.

Google Maps : https://maps.app.goo.gl/Zyrh6SfBVLyDnfoC9

Kepuasan:

Lokasi riadah yang sesuai untuk semua peringkat umur dan setiap lapisan masyarakat. Juga sesuai untuk yang ingin merasai suasana dan pemandangan indah di atas bukit tetapi tidak mampu merasai jerih perit mendaki bukit kerana di sini anda hanya melalui jalan yang bertar.

Kekurangan:

Tiada kemudahan tandas awam disediakan. Anda perlu bersiap sedia dari awal jika ingin ‘melepas’. Ataupun anda perlu ke Muzium In Situ yang menyediakan kemudahan tandas yang terdekat.

Sentiasa bersedia terutamanya yang membawa anak-anak kerana jalan pejalan kaki ini adalah jalan yang sama dengan kenderaan 4 roda naik dan turun dari bukit ini.

Tahap kepuasan (maksimum 5 🌟) :

🌟🌟🌟 (3 bintang)


Perkongsian oleh: Pn. Azura Mohamad

Editor: Mohammad Syahman Abu Hasan

Leave a comment